Wednesday, August 26, 2009

HARI KE-5: BERBUKA PUASA ATAU NAFSU MAKAN?

Berbuka puasa yang dituntut adalah secara sederhana. Elok dimulakan hanya dengan sebiji kurma dan air  kosong. Bagaimana pula dengan kita? Juadah berbuka puasa Kak Rynna sekeluarga sederhana sahaja. Di awal berbuka puasa, kami cuma menjamah kurma, buah-buahan dan kuih muih. Selepas solat Isyak dan Tarawih barulah kami menjamah nasi bersama lauk-pauk. Cara demikian terasa lebih nikmat dalam menjamah hidangan berbanding dengan jika kita menjamah kesemuanya sebaik sahaja berbuka puasa.

Hidangan kuih muih kebanyakannya dibeli di pasar ramadhan. Kak Rynna tak buat kuih sebab tak mahu luangkan masa yang banyak di dapur. Kak Rynna lebih gemar luangkan masa yang lebih dengan anak-anak. Kalau lama sangat di dapur terasa seperti anak-anak diabaikan. Anak Kak Rynna, Sarah suka sangat ke pasar ramadhan. Tujuan asal Sarah ialah dapat memilih sendiri juadah kegemarannya. Ayahnya ikutkan sahaja kehendaknya asalkan berpatutan dan tidak membazir.

Setakat ini, kami tak bercadang pun untuk berbuka puasa di luar. Cukup sekadar hanya di rumah memandangkan di rumah ada ayah mertua yang sedang uzur. Ayah mertua rajin berpuasa walaupun sebenarnya dia tak mampu. Setiap kali berbuka terasa sayu hatinya ketika membaca doa berbuka puasa. Ayah mertua menjalani rawatan hemodialisis. Pada hari rawatan abah tak dibenarkan berpuasa. Abah hanya berpuasa pada hari tiada rawatan.

Ketika masih bekerja dahulu, Kak Rynna sering berbuka puasa di luar: restoran dan juga di hotel. Walau apa pun, berbuka di luar tidak menarik jika tidak ada sebarang aktiviti yang disediakan. Tidaklah nanti asyik aktiviti makan, makan dan makan sampai restoran tutup...hehehe...

0 comments:

"Magical Template" designed by Blogger Buster